Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/06/03
KUALA LUMPUR: Diacu raifal dengan laser senjata disasarkan ke dahi dan terpaksa merangkak di celah mayat bergelimpangan serta berlumuran darah, adalah antara episod ngeri yang dilalui wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, dalam serangan tentera Israel ke atas kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Ahad lalu.
Ashwad yang menyertai misi itu bersama jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip dan 10 rakyat Malaysia lain, turut menceritakan layanan buruk tentera Israel terhadap mereka sepanjang ditahan sebelum dibebaskan, kelmarin.
Berikut adalah rentetan pengalaman yang diceritakan Ashwad ketika dihubungi Berita Harian, beberapa jam selepas beliau tiba di Amman, Jordan, semalam.
“Tempoh 28 jam diserang dan ditawan tentera Israel dalam kapal sudah cukup untuk saya merasai penderitaan enam dekad warga Palestin berdepan dengan kekejaman regim Yahudi itu. Perasaan takut, marah dan panik bercampur baur, apatah lagi apabila terpaksa berdepan senjata mereka yang setiap saat diacu ke arah kami.
Episod ngeri itu bermula pada jam 4.30 pagi (waktu Turki) Ahad lalu, sejurus kapal Mavi Marmara memasuki perairan antarabangsa apabila tiga kapal perang Israel yang diiringi 16 bot laju komando mengepung kapal kami.
Tidak ada jalan lain untuk menghalang mereka menaiki kapal, melainkan penjaga keselamatan kapal terpaksa menyembur air ke arah mereka. Itupun tidaklah sekuat mana, berbeza sekali dengan dakwaan media Barat yang mendakwa Mavi Marmara memulakan serangan ke atas tentera Israel.
Selama hampir satu jam kami bergelut menghalang mereka menawan kapal sebelum kemuncaknya apabila tiga helikopter menurunkan komando di lokasi siaran langsung televisyen sedang dijalankan di mana pada ketika itu dianggarkan antara 30 hingga 40 komando Israel bertindak melepaskan tembakan rambang secara bertubi-tubi bagi mengosongkan kawasan itu.
Siapa yang berani berdepan situasi sebegitu, apatah lagi ia adalah pengalaman ngeri pertama sepanjang saya bertugas sebagai media, terutama apabila melihat sendiri beberapa rakan serombongan tumbang terkena peluru sesat.
Malah, lebih menakutkan apabila sasaran serangan mereka dilihat tidak mengira siapa termasuk wartawan dan jurugambar. Ada beberapa jurugambar ditembak di tangan untuk memaksa mereka melepaskan kamera.
Saya dan beberapa rakan lain ketika itu hanya mampu berlindung di sebalik tiang kapal dan berlari ke sana sini bagi mengelak terkena tembakan sebelum terpaku apabila cahaya laser senjata mereka disasarkan ke dahi saya.Sukar digambarkan betapa saya terpaksa merangkak di celah mayat bergelimpangan dan berlumuran darah untuk menyelamatkan diri selepas seorang penumpang kapal di sebelah saya ditembak dengan peluru getah di dada.
Kira-kira jam 7 pagi, kami semua diikat di tangan dan diarah berkumpul di satu kawasan dalam kapal. Keadaan ketika itu tegang dengan perasaan takut menyelubungi wajah semua tawanan apatah lagi muncung senjata tentera Israel sentiasa diacu ke arah kami.
Sejak itu, kami langsung tidak diberi makan atau minum, malah tidak dibenarkan ke tandas. Bayangkan beberapa warga emas, terutama yang menghidap diabetes terpaksa menahan sakit untuk membuang air kecil kerana ketegasan tentera Israel yang langsung tidak bersimpati terhadap mereka.
Mujurlah, selepas berkali-kali dirayu, baru beberapa orang dibenarkan ke tandas, itupun dengan kawalan sangat ketat dan diperlakukan umpama banduan sedangkan mereka semua tidak berdaya dan sekadar orang awam yang tidak berbahaya.Ketika itu juga, semua kamera, komputer riba serta pen dirampas dan dihancurkan tentera Israel. Apa saja bahan yang merakamkan kejadian serangan itu, turut dihapuskan. Apa yang tinggal pada kami hanya dompet dan dokumen seperti pasport.
Sakit di tangan juga mula terasa dan kebas seperti darah tidak mengalir kerana ikatan itu sangat kuat. Nak bergerak pun sukar kerana cahaya laser senjata mereka sentiasa disasar di dada kami. Bagi menghilangkan dahaga pula, kami terpaksa meminum sisa air dalam botol minuman berhampiran kami. Paling tak dapat dilupakan, satu bar Snickers dikongsi 30 orang untuk sekurang-kurangnya memberi sedikit tenaga.
Sebaik kapal kami berlabuh di Ashdod, Israel, proses untuk keluar dari kapal saja mengambil masa hampir 12 jam. Habis semua pakaian kami ditanggalkan ketika pemeriksaan dibuat. Pemeriksaan semua dokumen itu saja mengambil masa lebih satu jam.Ketika itu, Tuhan saja yang tahu betapa kasarnya tentera Israel memperlakukan kami meskipun sekadar orang awam. Sudahlah diperlakukan seumpama banduan, kami turut dibawa ke Be'er Sheva, lokasi penjara baru Israel menggunakan bas yang hanya sesuai untuk membawa pengganas dalam perjalanan selama dua jam.
Be'er Sheva adalah penjara baru. Jadi, kami boleh dikatakan tahanan pertama yang merasmikannya. Selepas semua dokumen kami diserahkan kembali, barulah kami dapat merasa sedikit makanan, itupun hanya air mineral, sedikit sayur dan roti. Itu sajalah makanan yang dapat kami jamah sepanjang lebih 15 jam ditahan di penjara itu.
Jika hendak digambarkan keganasan tentera Israel memang sukar, tetapi cukuplah sekadar dikatakan bahawa mereka langsung tidak ada belas kasihan, tidak peduli apa yang diminta walau puas dirayu dan herdikan mereka menjadi teman sepanjang kami ditawan.
Layanan terhadap kami juga tak ubah seperti banduan. Ditolak ke sana sini dengan sangat kasar. Ketika itu, tiada perkara lain yang berlegar dalam kotak fikiran kecuali rasa marah dan berserah. Melihat kepada situasi yang kami hadapi itu, sukar untuk diagak sama ada kami bakal dibebaskan atau sebaliknya.Mulanya, kami menjangka akan lama merengkuk di penjara sehinggalah kami didatangi wakil dari Pertubuhan Palang Merah dan Kedutaan Jordan yang membawa berita gembira, iaitu kami akan dibebaskan tidak lama lagi.
Tepat jam 8 pagi kelmarin kami dibebaskan tetapi terpaksa menjalani beberapa pemeriksaan sebelum dibenarkan menaiki bas pada jam 6.30 petang. Selepas perjalanan meletihkan hampir 12 jam, kami akhirnya sampai di sempadan Jordan dan dibawa ke sebuah hotel di Amman.
No comments:
Post a Comment