SELAMAT MENYAMBUT SYAWAL..SYAWAL SATU KEMENANGAN

6.10.09

TINDAKAN YANG DIMULAKAN DENGAN SAMAN DAN PERMOHONAN DI MAHKAMAH SYARIAH

Oleh Abi Fatin

PENDAHULUAN
Mahkamah Syariah mempunyai tatacara khusus bagi memulakan tindakan prosiding sama ada bagi kes jenayah atau kes mal. Tatacara ini begitu penting bagi pengamal undang-undang yang berguam di Mahkamah Syariah seperti Hakim Syarie, peguam syarie, pendakwa syarie, pegawai-pegawai Mahkamah dan pihak-pihak yang terlibat. Tatacara tersebut memberi panduan yang jelas terhadap perjalanan kes di Mahkamah Syariah dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Enakmen Tatacara Mal negeri-negeri memperuntukkan setiap kes yang diadukan hendaklah difailkan secara bertulis dan membayar fi yang ditetapkan. Pemfailan merupakan pra syarat yang memboleh seseorang dibicarakan di Mahkamah. Ini merupakan kaedah yang paling praktikal yang diamalkan bagi melicinkan perjalanan kes di Mahkamah. Proses ini melibatkan beberapa pliding (surat guaman) kerana setiap pemfailan kes yang dimajukan ke Mahkamah hendaklah dibuat dalam bentuk bertulis, lengkap dengan lampiran yang menyokong sesuatu tuntutan yang dibuat .

Tuntutan antara pihak-pihak dikenali sebagai kes mal (tuntutan sivil). Cara memulakan prosiding mal di Mahkamah Syariah ada dua bentuk iaitu ;
(i) Saman
(ii) Permohonan
Tindakan ini diterangkan secara terperinci dibawah tajuk Cara Memulakan Prosiding Mal seperti terkandung dalam Bahagian 111 , seksyen 7 hingga 15 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 (ETMMS 2003). Penulis dalam kertas tugasan ini akan memfokuskan kepada enakmen yang berkuatkuasa di Negeri Selangor bagi memudahkan pembaca meneliti peruntukan yang berkaitan.

SYARAT-SYARAT PENDAKWAAN DALAM ISLAM
Bagi memastikan sesuatu dakwaan yang dibuat oleh pihak yang menuntut (Pemohon/ Plaintif) adalah sah mengikut hukum syarak. Maka syarat-syarat dakwaan perlu jelas seperti yang dinyatakan oleh Al-Syed al-Bakri Ibnu al-Sayed Mohamad Shatha al-Dumyati (meninggal tahun 1300 Hijrah) didalam kitabnya “ إعانة الطالبين” halaman 508-509 ,jilid 4 cetakan al-Maktabah al-Taufiqiyyah Mesir ada menyebut:
1) Dakwaan seseorang yang mendakwa itu hendaklah terang
2) Yang kena dakwa terikat dengan dakwaan
3) Hendaklah ditentukan orang kena dakwa
4) Dakwaan yang dibuat tidak bercanggah dengan dakwaan yang lain
5) Bahawa tiap-tiap orang yang mendakwa atau kena dakwa adalah mukallaf
6) Bahawa tiap-tiap orang yang mendakwa dan orang yang kena dakwa terikat dengan hukum.
Berdasarkan syarat-syarat yang dikemukakan oleh tadi, penulis berpendapat pihak-pihak yang menuntut perlulah mengemukakan dakwaan dengan jelas dalam permohonan dan mengikut tatacara yang ditetapkan.

PROSES MEMBUAT ADUAN
Sirah telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat telah mengamalkan konsep aduan terbuka secara bebas. Rasulullah SAW sendiri bertindak sebagai hakim menyelesaikan pertikaian yang timbul di kalangan rakyat yang mengadu kepada baginda. Rasulullah sendiri pernah mengendalikan pengaduan di antara al-Zubayr bin al-Awwam dengan seorang lelaki Ansar di dalam pertelingkahan melibatkan hak mendapatkan air. Rasulullah SAW telah membuat keputusan supaya al-Zubayr mengambil dahulu air dan disusuli dengan orang Ansar tersebut ( Abu al-Hasan Ali bin Muhammad al-Mawardy, 1996 : halaman 236).

Begitu juga para sahabat dimana para khalifah telah membuka ruangan kepada rakyat untuk membuat pengaduan. Contohnya, Khalifah Saidina Ali Ibn Abi Thalib kw. telah menerima pengaduan daripada dua orang wanita yang berebut bayi kerana masing-masing mendakwa bayi tersebut adalah miliknya Maka Sayyidina Ali memutuskan agar bayi tersebut dipotong dua yang akhirnya kes tersebut berjaya diselesaikan secara baik (sulh) (Abu al-Hasan Ali bin Muhammad al-Mawardy, 1996 : halaman 237).

Proses ini diteruskan oleh zaman khalifah al-Rasyidin diikuti oleh pemerintah kerajaan Bani Umayyah dan Abbasiyyah dimana setiap aduan dibicarakan dihadapan khalifah atau penguasa-penguasa tempatan yang dilantik. Manakala dalam zaman moden, kuasa raja untuk mengendalikan aduan berkaitan hal ehwal agama Islam terutamanya melibatkan kekeluargaaan Islam telah diserahkan kepada Mahkamah Syariah.

CARA MEMULAKAN TINDAKAN KES MAL
Di dalam subseksyen 7(1) dan (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, menjelaskan semua prosiding mal di Mahkamah Syariah hendaklah dimulakan dengan saman kecuali mana-mana perkara yang dinyatakan dalam Jadual Kedua (rujuk Lampiran A) hendaklah dimulakan dengan permohonan. Ini bermakna, tuntutan kes mal di Mahkamah Syariah adalah saman dan permohonan sahaja.

SAMAN
Saman yang difailkan di Mahkamah Syariah perlulah menepati spesifikasi yang ditetapkan . Saman perlu menggunakan borang yang dikhususkan iaitu Borang MS 2 dan disertai dengan Penyata Tuntutan.

Didalam seksyen 63 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, pernyataan tuntutan tersebut hendaklah ditandatangani oleh Plaintif atau Peguam Syarienya serta mengandung perkara berikut :-
(a) suatu pernyataan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan yang bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh plaintif dan menunjukkan kausa tindakannya, termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat khas yang atasnya plaintif mendakwa, jika ada;
(b) butir-butir tuntutan yang mencukupi;
(c) suatu pernyataan tentang relief yang dituntut; dan
(d) butir-butir mengenai apa-apa permohonan lain.

Contoh saman yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Selangor seperti tuntutan gantirugi perkahwinan, tuntutan perceraian, fasakh, taklik, khulu’(tebus talaq), pengesahan cerai luar Mahkamah, tuntutan nafkah anak, nafkah isteri, nafkah iddah, mutaah, tunggakan nafkah tuntutan wali enggan, tuntutan penghutang penghakiman, sabitan nusyuz, tuntutan hak tempat tinggal, tuntutan isteri kembali taat, tuntutan mas kahwin, gantirugi perkahwinan, tuntutan pengesahan taraf anak, faraq nikah, tuntutan pengesahan rujuk dan sebagainya. Manakala kes saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor seperti tuntutan pengesahan nazar, pengesahan waqaf, harta sepencarian, tuntutan hak jagaan anak, mengubah perintah hak jagaan anak, pemecatan penjagaan anak, hiwalah, pengesahan hibah, pengesahan hibah semasa maradul maut, kebenaran poligami, pengesahan wasiat, permohonan keluar Islam dan sebagainya.

Pada asasnya, penentuan bidangkuasa peringkat mahkamah mana yang mendengar sesuatu tuntutan sama ada saman atau permohonan berpandukan kepada perengan 62(2)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah dan perenggan 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Kebiasaannya prosiding yang dimulakan dengan saman dibicarakan di mahkamah terbuka kecuali kes tertentu seperti poligami yang dibicarakan di mahkamah tertutup. Pihak yang menuntut ( المدعي ( dikenali sebagai Plaintif manakala pihak kena tuntut ( (المدعى عليه dikenali Defendan.

PERMOHONAN
Selain itu, permohonan ke Mahkamah juga boleh dibuat melalui notis permohonan dalam Borang MS 3 dan disokong dengan ikrar atau afidavit Pemohon sebagaimana seksyen 13 ETMMS 2003. Afidavit tersebut hendaklah menggunakan borang MS 26 dan telah diangkat sumpah dihadapan Hakim atau Pendaftar atau pegawai yang beragama Islam di kedutaan Malaysia ( Luar Negara) sepertimana seksyen 112 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah( Negeri Selangor) 2003 seperti berikut :
“Sesuatu afidavit yang hendak digunakan dalam mana-mana prosiding di Mahkamah hendaklah dibuat dengan sumpah—
(a) di Negeri Selangor, di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau Pendaftar;
(b) di Negeri lain di Malaysia, di hadapan Hakim Syarie atau Pendaftar mengikut kehendak kes;
(c) di mana-mana tempat di luar Malaysia, di hadapan manamana pegawai Islam Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia atau Konsulat atau Misi Tetap di tempat itu yang diberi kuasa untuk mengendalikan sumpah.

Pada hakikatnya, setiap permohonan yang dibuat hendaklah dinyatakan dengan jelas jenis perintah yang dipohon dan mengandungi fakta yang cukup terperinci untuk menyokong permohonan itu. Dalam hal ini, pihak Pemohon hendaklah mempunyai asas dan alasan yang jelas di atas perkara yang dipohon ke Mahkamah beserta bukti-bukti yang menyokong permohonan tersebut.

Permohonan dan afidavit yang tidak terperinci atau tidak lengkap pasti akan menyukarkan pihak Mahkamah dan responden atau pihak lain yang berkepentingan bagi menjawab affidavit tersebut dalam affidavit jawapan. Maka Mahkamah mempunyai budibicara untuk menolak affidavit yang kandungannya sukar dibaca atau difahami atau apa-apa kecacatan lain sebagaimana seksyen 115 ETMMS 2003 . Setelah pihak Responden menjawab afidavit tersebut maka pihak Pemohon boleh menjawab afidavit jawapan tersebut. Namun begitu, pihak responden atau pihak yang mempertikaikan fakta yang dideposkan dalam afidavit, boleh memohon kepada Mahkamah untuk memeriksa balas afidavit yang difailkan oleh Pemohon sebagaimana seksyen 118 ETMMS 2003. Ini bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Contoh notis permohonan yang di failkan di Mahkamah Rendah Syariah Selangor seperti permohonan pengesahan nikah, pengistiharan pembubaran perkahwinan sebab pertukaran agama, penguatkuasaan perintah nafkah, perlaksanaan perintah Mahkamah, permohonan sijil faraid bagi nilaian harta tidak melebihi RM100,000.00 , permohonan interlokutori, mendakwa/membela sebagai orang miskin, kebenaran nikah bawah umur, wali hakim, kebenaran nikah janda berhias dan sebagainya. Manakala notis permohonan yang di failkan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor seperti permohonan kebenaran merayu, semakan, tegahan/ injunksi membawa anak keluar Malaysia, tegahan/ injunksi terhadap gangguan, anggapan mati, pembekuan transaksi harta, perintah interim, perintah menghina mahkamah, permohonan sijil faraid melebihi RM100,000.00 dan sebagainya.
Kebiasaannya bagi kes yang dimulakan dengan notis permohonan dibicarakan di kamar. Pihak yang menuntut ( المدعي ) dikenali sebagai Pemohon manakala pihak kena tuntut ( (المدعى عليه ) dikenali Responden.

Kesemua prosiding ini perlu diikuti oleh semua pihak agar Mahkamah dapat dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya. Dari segi hukum syarak konsep ini bertepatan dengan beberapa kaedah fiqhiyyah diantaranya :-
1. الأصل العدم (Asal sesuatu itu tidak wujud (melainkan jika dibuktikan sebaliknya)
2. الأصل البراءة الذمة (Pada asalnya seseorang itu bebas dari sebarang tanggungan (melainkan dibuktikan sebaliknya )
3. الأصل بقاء ما كان على ما كان ٍ (Sesuatu yang telah sabit wujudnya di suatu masa yang lalu dihukumkan sebagai berkekalan wujudnya (sehingga dibuktikan sebaliknya) dan banyak lagi kaedah lain (al-ImamJalal al-Din Abdul Rahman al-Suyuti, 2001 : halaman 114-131)
Ini dikuatkan lagi firman Allah s.w.t yang berbunyi :

Bermaksud : “ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (al-Quran, surah al-Maidah : 8)

Penghantaran Saman/ permohonan
Saman adalah suatu kaedah yang diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 untuk memanggil pihak Defendan untuk menjawab tuntutan ataupun dakwaan oleh pihak Plaintif terhadapnya. Ini disebabkan setiap perbicaraan hendaklah dihadiri oleh pihak Plaintif dan Defendan kecuali Mahkamah memerintahkan sebaliknya. Oleh yang demikian setiap dakwaan yang diadukan oleh pihak Plaintif mestilah disampaikan kepada pihak Defendan bagi memberi peluang menjawab segala tuntutan atau dakwaan yang ditujukan kepadanya sama ada setuju atau sebaliknya.

Oleh itu, setiap saman atau permohonan yang hendak difailkan di Mahkamah Syariah oleh pihak Plaintif/ Pemohon perlulah membuat salinan seminima 3 salinan atau lebih. Ini bergantung kepada bilangan penentang (Defendan/ Responden). Satu salinan untuk pemohon, satu salinan untuk Mahkamah dan satu salinan untuk setiap penentang. Ini bermaksud sekiranya penentang dalam kes tersebut ramai maka salinan tambahan perlu disediakan. Contohnya pihak yang dituntut terdiri Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri, maka pemohon perlu menyediakan salinan untuk Defendan/ Responden sebanyak 3 salinan.

Selepas pemohon mendapati permohonan telah lengkap, maka Pemohon boleh memfailkan kes di Mahkamah Syariah. Pendaftar Mahkamah akan memeriksa saman/ permohonan tersebut bagi memastikan sama ada ianya sempurna bentuknya dan pihak pemohon telah membayar fi yang ditetapkan seperti yang terkandung dalam Kaedah-kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (fi, elaun dan kos) 2006 . Pembayaran fi tersebut termasuklah fi pendaftaran dan penyampaian saman/permohonan. Namun, sekiranya pemohon berhasrat untuk menyampaikan saman/ permohonan itu secara kediri melalui pemohon , maka fi untuk penyampaian saman/ permohonan akan dikecualikan.

Bagi permohonan yang sempurna, Pendaftar akan memberi suatu nombor pada saman/ permohonan itu, menandatangani, memeteraikan dan mengeluarkan saman/ permohonan untuk tujuan penyampaian saman/ permohonan kepada pihak-pihak yang berkaitan. Manakala bagi permohonan/ saman yang tidak sempurna maka pihak Pendaftar akan menolak permohonan itu atau mengarahkan supaya ianya dipinda terlebih dahulu. Ianya penting bagi memastikan hanya permohonan yang lengkap dan sempurna sahaja diterima oleh Mahkamah.

Masa penyampaian
Apabila saman telah dikeluarkan oleh Pendaftar, tempoh sesuatu saman/ permohonan hendaklah sah selama dua belas (12) bulan lamanya. Sekiranya luput tempoh tersebut, maka sesuatu saman/ permohonan akan tamat tempoh. Namun, sekiranya pihak menuntut membuatpermohonan melanjutkan tempoh saman/ permohonan sebelum tamat tempoh, maka Mahkamah boleh melanjutkan tempoh keesahan saman/ permohonan itu tidak lewat 12 bulan berikutnya mulai tarikh tamat tempoh tersebut. Ini dijelaskan dalam subseksyen 11 (1)(2) (3) ETMMS 2003. Jika sesuatu saman/ permohonan hilang selepas dikeluarkan, Mahkamah boleh mengeluarkan saman/ permohonan yang baru sepertimana saman/ permohonan yang asal (seksyen 12).

KAEDAH KHAS (PERMOHONAN CERAI)
Mengikut seksyen 15 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, bagi permohonan cerai di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak terikat dengan kaedah am seksyen 8 -12 dan seksyen 13 -15 ETMMS 2003 tetapi mempunyai prosedur tersendiri dibawah enakmen tersebut. Dalam hal ini, permohonan cerai tersebut melalui saman, borang ditetapkan serta disertai dengan akuan berkanun mengandungi -
(a) butir-butir mengenai perkahwinan itu dan nama, umur dan jantina anak-anak, jika ada, hasil dari perkahwinan itu;
(b) butir-butir mengenai fakta-fakta yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah di bawah seksyen 45;
(c) butir-butir mengenai apa-apa prosiding yang dahulu mengenai hal ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu, termasuk tempat prosiding itu;
(d) suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai;
(e) suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan, jika ada, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;
(f) syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, peruntukan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi melalui usaha bersama pihakpihak itu, jika ada, atau, jika tiada, sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon mengenai halhal itu; dan
(g) butir-butir mengenai perintah yang diminta.

Saman tersebut hendaklah diserahkan kepada Defendan bersama permohonan dan akuan berkanun dan mengarahkan Defendan hadir untuk membolehkan mahkamah menyiasat sama ada Defendan setuju atau tidak dengan permohonan Plaintif. Sekiranya permohonan itu tidak dipersetujui, Mahkamah akan mengarahkan pihak-pihak melantik suatu Jawatankuasa Pendamai sebagaimana subseksyen (5) hingga (14) dan kemudiannya merujuk kepada Hakam untuk tindakan di bawah seksyen 48 mengikut tempoh yang tertentu.

Selain itu, permohonan poligami di bawah seksyen 23 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang diamalkan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mempunyai kaedah khas iaitu dimulakan dengan saman dan disertai penyata tuntutan serta iqrar yang mengandungi-
(a) alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu,
(b) pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan,
(c) bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu,
(d) dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.

TUNTUTAN ATAU PEMBELAAN LISAN
Satu peruntukan umum dalam subseksyen 16(1) hingga (4) ETMMS 2003, memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh dengan budibicaranya membenarkan mana-mana tuntutan atau pembelaan dibuat secara lisan dengan syarat Mahkamah merekodkan butir-butir tuntutan atau pembelaan dengan mengambilkira mana-mana peruntukan berkaitan saman atau permohonan dan pemohon itu membayar fi yang telah ditetapkan seperti terkandung dalam Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (fi, elaun dan kos) 2006. Dalam prosiding ini, Mahkamah perlu menyampaikan satu salinan rekod tersebut kepada pihak pemohon itu dan pihak berkenaan hendaklah mematuhi kehendak seksyen 16(3) ETMMS 2003 :-
(a) memperakui butir-butir yang terkandung dalamnya dengan menurunkan tandatangannya atau cap ibu jari kanannya pada rekod itu;

(b) menyediakan salinan yang mencukupi bagi rekod itu supaya satu salinan boleh disampaikan kepada setiap pihak lain dalam prosiding itu; dan

(c) menyampaikan satu salinan rekod itu kepada tiap-tiap pihak itu sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum hari kehadiran.

Pada pendapat penulis peruntukan ini jarang diaplikasi oleh pihak Mahkamah disebabkan Mahkamah terpaksa merekodkan tuntutan atau pembelaan pihak berkenaan dan menyerahkan semula kepada pihak tersebut untuk diperakui semula serta tindakan lain. Namun, peruntukan ini amat berguna bagi pihak-pihak yang sukar menulis atau orang dibawah jagaan seperti banduan, orang buta huruf dan sebagainya.
PERBEZAAN PROSIDING DI MAHKAMAH SIVIL
Cara memulakan prosiding sivil di Mahkamah Sivil adalah berbeza antara dua peringkat Mahkamah iaitu Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi. Menurut Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (PU(A) 98/1990), aturan 5 kaedah 1 menyatakan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi dimulakan melalui writ, saman pemula dan usul pemula atau petisyen. Manakala di Mahkamah Rendah, prosiding sivil dimulakan melalui saman dan permohonan pemula atau petisyen (Aturan 4, kaedah 1, Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980 (PU(A) 97/1990). Ini berbeza dengan amalan di Mahkamah Syariah dimana Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah memulakan prosiding mal(sivil) adalah sama iaitu melalui saman dan permohonan sahaja.
KESIMPULAN

Bagi memastikan sesuatu dakwaan itu sah dan berkesan, maka pihak yang menuntut hendaklah memenuhi semua syarat-syarat yang diperuntukkan pada setiap rukun pendakwaan. Implikasi sesuatu dakwaan ialah jawapan balas daripada pihak kena tuntut untuk meneruskan proses penghakiman. Sebelum itu pihak yang menuntut mesti mematuhi semua tatacara yang ditetapkan agar proses penghakiman berjalan lancar. Penerimaan dakwaan oleh mahkamah tidaklah bermakna dakwaan tersebut telah sabit kerana penerimaan itu hanya sebagai permulaan bagi meneruskan perbicaraan. Penulis berpendapat prosedur saman dan permohonan di Mahkamah Syariah memenuhi kehendak hukum syarak secara keseluruhannya bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

BIBLIOGRAFI
1. Sheikh Abdullah Basmeih, 2000. Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Qur’an, Kuala Lumpur : Dar al-Fikr

2. al-Dumyati, Al-Syed al-Bakri Ibnu al-Sayed Mohamad Shatha (meninggal tahun 1300 Hijrah) Ianah –al-Thalibin, jilid 4. Mesir : al-Maktabah al-Taufiqiyyah

3. al-Mawardy, Abu al-Hasan Ali bin Muhammad, 1996, al-ahkam al-Sultaniyyah wa al-wilayah al-Diniyyah. Mesir : Percetakan Mustafa al-Halabi.

4. al-Suyuti, al-Imam Jalal al-Din Abdul Rahman. 2001. al-Asbah wa al-Nazair fi Qawaid wa Furu’ Fiqh al-Syafi’iyyah.Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

5. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

6. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003

7. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No. 4, 2003

8. Kaedah-kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (fi, elaun dan kos) 2006

9. Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (PU(A) 98/1990)

10. Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980 (PU(A) 97/1990)

Lampiran A
Prosiding yang dimulakan dengan notis Permohonan dinyatakan dalam Jadual Kedua berhubungan dengan undang-undang diri dan keluarga seperti yang berikut:
i. Keizinan untuk melangsungkan perkahwinan seseorang orang belum dewasa
ii. Pelantikan wali am
iii. Perintah bagi pendaftaran perkahwinan yang dilangsungkan berlawanan dengan undang-undang
iv. Anggapan kematian
v. Pelantikan penjaga harta seseorang orang belum dewasa
vi. Perintah bagi penjagaan bersama harta seseorang orang belum dewasa
vii. Perintah bagi pengubahan kuasa penjaga harta seseorang orang belum dewasa
viii. Perintah bagi pemecatan penjaga harta seseorang orang belum dewasa
ix. Kebenaran bagi pelupusan harta seseorang orang belum dewasa
x. Kebenaran untuk menyara seseorang orang belum dewasa daripada pendapatan hartanya
xi. Perintah bagi penggunaan harta modal untuk menyara seseorang orang belum dewasa
xii. Perintah larangan yang berhubungan dengan harta seseorang orang belum dewasa
xiii. Injunksi yang menghalang anak dibawa keluar dari Malaysia
xiv. Perintah untuk mengetepikan, dan injunksi yang menghalang, pelupusan
harta untuk mengecewakan tuntutan nafkah
xv. Injunksi terhadap perkosaan oleh suami atau isteri atau bekas suami atau isteri
xvi. Pengiktirafan perkahwinan yang diijabkabulkan di luar Negeri Selangor.
xvii. (Pengakuterimaan paterniti)
xviii. Pengesahan pengakuterimaan paterniti oleh perempuan dalam ‘eddah
xix. (Pembahagian harta pusaka)

1 comment:

Unknown said...

Perjanjian bersama tentang hadhonah bertarikh 28 mei 2016

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...