SELAMAT MENYAMBUT SYAWAL..SYAWAL SATU KEMENANGAN

18.6.09

PENJELASAN KEKELIRUAN- HUKUM BINAAN ATAS KUBUR DAN KENDURI ARWAH

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول لله وعلى آله وصحبه ومن تبعهم الى يومالقيامة , أما بعد:

Disusunkan artikel ini bertujuan menerangkan kepada masyarakat tentang beberapa hukum yang dikelirukan oleh sesetengah pihak yang menggunakan zahir lafaz hadis tanpa merujuk kepada huraian ulama mujtahid yang berkelayakkan dalam menghuraikan hukum-hakam yang tersirat di dalam sesebuah hadis. Para ulama yang muktabar memperincikan lagi maksud sebenar huraian imam ikutan mereka itu. Maka mantaplah segala hukum dan terhindar daripada huraian mengikut hawa nafsu, ilmu yang cetek serta akal yang dangkal. Ini kerana, tidak semua diberikan ilmu yang seperti ulama-ulama tersebut.
Merekalah pewaris nabi yang beramanah dalam menjaga agama ini.


ان العلماء ورثة الأنبياء ورثوا علما

...Ertinya: “ Sesungguhnya para ulama adalah pewaris kepada para anbia dan mereka itu mewarisi keilmuan.…” (Al-Hadis)

Hukum Binaan Di atas Kubur

Tentang hadis larangan binaan di atas kubur, Imam Syafie menerangkan hukum dan sebab larangan tersebut di dalam kitab Ummnya (bab jenazah):



" ورأيت من الولاة (بمكة) من يهدم ما يبنى فيها ولم أر فقهاء يعيبون عليه ذلك ولأن في ذلك تضييقا على الناس "

Ertinya: “ Aku melihat pembesar di Mekah meruntuhkan binaan-binaan kubur yang ada padanya dan aku tidak melihat para Fuqaha (Mujtahid) yang mencela perbuatan pembesar tersebut dan kerana pada binaan itu menyempitkan tanah perkuburan ke atas orang ramai.”

Katanya lagi:


" فان كانت القبور في الأرض يملكها الموتى في حياتهم أو ورثتهم بعدهم , لم يهدم شىء يبنى منها وانما يهدم ان هدم ما لا يملكه أحد فهدمه لئلا يحجر على الناس "
Ertinya: “ Maka jika adalah perkuburan di dalam tanah yang dimiliki oleh orang-orang mati semasa hidup mereka atau diwarisi oleh pewaris selepas kematian mereka, nescaya tidak boleh diruntuhi sesuatu binaan di dalamnya. Hanya diruntuhi sesuatu binaan di dalam tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun maka hendaklah diruntuhinya supaya tidak menegah orang ramai untuk tanam mayat yang lain.”

Bila ditanyakan fatwa kepada Ibnu Hajar Haitami tentang suatu binaan, beliau menghukumkan haram binaan itu dan menyatakan sebab ( ألعلة ) pengharaman tersebut dengan katanya (Fatawa Kubra, bab jenazah):



" ولوجود علة تحريم البناء في ذلك وهى تحجير الأرض على من يدفن بعد بلاء الميت اذ الغالب أن البناء يمكث الى ما بعد البلى وأن الناس يهابون فتح القبر المبني فكان في البناء تضييق للمقبرة ومنع الناس من الانتفاع بها فحرم "

Ertinya: “Kerana terdapat sebab pengharaman binaan pada binaan yang berkenaan iaitu menegah tanah kubur daripada ditanamkan mayat lain selepas hancur mayat di dalam kubur itu. Ini kerana, kebiasaannya binaan di atas kubur menjadi kekal sehinggakan selepas masa hancurnya mayat, dan orang ramai takut hendak membuka kubur yang dibinakan di atasnya. Maka binaan itu menyempitkan tanah perkuburan dan menegah orang ramai daripada mengambil manfaat dengannya lalu ia menjadi haram.”

Beberapa perkara yang difahami daripada huraian Imam Syafie adalah:-

1) Binaan di dalam tanah perkuburan milik sendiri
2) Binaan di dalam tanah perkuburan disabilkan
3) Binaan yang menyebabkan:
a) terhalang daripada ditanamkan mayat lain (bila berlaku kesesakan)
b) menyempitkan tanah perkuburan dengan perkara yang berlebih-lebihan

Para ulama yang mengikuti Imam Syafie menghuraikan maksud sebenar perkataan Imam mereka tentang Hukum Binaan tersebut, adalah seperti berikut:-

Maksud sebenar Binaan tersebut dan dimakruhkan di tanah perkuburan milik sendiri

Binaan yang di maksudkan itu ialah binaan yang sama betul dengan liang lahad mayat (tidak memakan ruang yang terlebih luas) dan juga binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripada itu seperti kubah, masjid, bilik dan lain-lain. Binaan tersebut dimakruhkan di dalam kawasan tanah kubur milik persendirian. Ini adalah pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie.Tersebut di dalam kitab Tuhfah bagi Ibnu Hajar Haitami ketika mensyarahkan matan Minhaj Imam Nawawi (bab jenazah) :


"ويكره تجصيص القبر والبناء) عليه في حريمه وخارجه, نعم ان خشي نبش أو حفر سبع أو هدم سيل لم يكره )"

Ertinya: “{Dimakruhkan (dalam tanah perkuburan milik sendiri) memutihkan kubur dengan kapur dan membuat binaan} di atas kubur pada permukaan liang lahadnya dan ruang yang terlebih luas daripada itu, sungguh pun begitu tiada makruh jika takut dibongkari (oleh pencuri kain kapan atau dibongkari untuk ditanam jenazah lain sebelum hancur jasadnya), digali binatang buas atau diruntuhi air banjir yang deras.”As-Syarwani menjelaskan lagi perkataan Ibnu Hajar itu di dalam Hasyiahnya:



" أي ويكره على القبر في حريمه وهو ما قرب منه جدا وخارج الحريم هذا في غير المسبلة "

Ertinya: “ Iaitu dimakruhkan binaan di atas kubur pada permukaan liang kubur iaitu ruang atau tanah yang betul-betul hampir dengan liang lahad kubur dan dimakruhkan juga pada ruang atau tanah yang terlebih luas daripada liang kubur tersebut. Hukum makruh terbabit adalah di dalam tanah perkuburan yang bukan disabilkan( iaitu tanah perkuburan milik sendiri).”

Terdapat Pendapat yang lemah di dalam mazhab Syafie yang menyatakan bahawa dimakruhkan binaan yang tidak memakan ruang yang terlebih luas daripada permukaan liang lahad kubur dan diharamkan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripadanya, sama ada binaan berkenaan di dalam tanah perkuburan milik sendiri atau tanah perkuburan yang disabilkan.

Di dalam kitab Murghni Muhtaj, bab jenazah: “ Sesetengah ulama mazhab Syafie menyesuaikan perkataan Imam Nawawi di dalam matan Minhaj dan perkataannya di dalam Majmuk dan lain-lain, dengan memberi maksud bahawa dimakruhkan apabila dibina hanya di atas kubur, dengan makna adalah binaan itu berada sama betul dengan permukaan liang kubur. Diharamkan binaan itu apabila didirikan di atas kubur kubah atau bilik yang didiami. Pendapat yang muktamad adalah haram semata-mata (tanpa membezakan di antara binaan sama betul dengan liang lahad dan binaan yang terlebih luas daripada itu).”

Di atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada di dalam tanah perkuburan milik sendiri

Binaan seperti kubah, bilik, masjid dan lain-lain, tiada haram serta tiada makruh sekiranya dibina di atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada di dalam tanah perkuburan milik sendiri. Tujuan didirikan binaan tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai datang menziarahi kubur mereka dan sempena mengambil berkat.

Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s 226):



" قال بعضهم الا في صحابي ومشهور الولاية فلا يجوز وان انمحق ويؤيده تصريحهم بجواز الوصية بعمارة قبور الصلحاء أي في غير المسبلة على ما يأتي في الوصية لما فيه من احياء الزيارة والتبرك "

Ertinya: “ Sesetengah ulama syafie berkata: “ Melainkan pada kubur sahabat dan mereka yang masyhur dengan kewalian maka tiada harus membongkarkan kuburnya, sekalipun telah hancur jasadnya. Pendapat mereka dikuatkan dengan kenyataan fuqaha bahawa diharuskan berwasiat supaya dibangunkan binaan di atas kubur orang yang soleh, iaitu di dalam tanah perkuburan yang bukan disabilkan, mengikut keterangan yang akan datang pada bab wasiat. Keharusan itu bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan ziarah dan sempena mengambil berkat.”

Binaan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan

Di dalam tanah perkuburan yang disabilkan atau diwakafkan, haram membina kubah, bilik, rumah atau masjid di atasnya. Wajib diruntuhkan binaan tersebut walaupun didirikan atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada. Ini adalah pendapat yang muktamad di dalam mazhab syafie.Tersebut di dalam kitab Nihayah bagi Syeikh Ramli ketika mensyarahkan Minhaj Imam Nawawi, bab jenazah:



"( ولو بني في مقبرة مسبلة, هدم) البناء وجوبا لحرمته ولما فيه من تضييق على الناس وسواء أبني قبة أو بيتا أو مسجدا أم غيرها "
Ertinya: “ (Jika dibinakan di atas kubur di dalam kawasan perkuburan yang disabilkan nescaya mesti diruntuhkan) binaan itu sebagai hukum yang wajib. Ini kerana binaan tersebut adalah haram dan kerana terdapat padanya sebab (العلة) pengharaman iaitu menyempitkan (tanah perkuburan yang disabilkan). Hukumnya tetap seperti itu, sama ada dibinakan kubah, bilik (rumah), masjid atau lainnya.”

Diharamkan binaan tersebut walaupun di atas kubur para nabi, wali, ulama dan lain-lain di dalam tanah perkuburan yang disabilkan sebagaimana kenyataan Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s 226) yang telah lalu mengikut beliau binaan seperti kubah, bilik, rumah dan masjid tidak dimakruhkan di atas kubur mereka sekiranya di dalam kawasan tanah perkuburan milik persendirian. Maka difahami daripada perkataan beliau bahawa binaan tersebut diharamkan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan.

Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan

Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan ialah hanya binaan seperti simen, marmar dan lain-lain dimana binaan itu tidak memakan ruang yang terlebih luas daripada liang lahad kubur.Ini ada dinyatakan di dalam Nihayah karangan Syeikh Ramli bab jenazah (jili 3, m/s 41,عند قول المتن لا للتكفين على الأصح ) ketika membahaskan larangan membongkar kubur sahabat dan wali setelah hancur jasad mereka untuk ditanam jenazah lain. Kerana larangan inilah, diharuskan binaan di atas liang lahad kubur mereka supaya tidak dibongkarkan untuk ditanam jenazah lain.

Beliau menukilkan perkataan Muwaffiq bin Hamzah yang mengharuskan berwasiat untuk membina binaan di atas kubur sahabat dan wali bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan menziarahi dan mengambil berkat.

Binaan yang dimaksudkan oleh nukilan Syeikh Ramli itu ialah hanya binaan di atas liang lahad kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya sahaja seperti disimen dan dipasangkan marmar, bukan binaan yang memakan ruang lebih luas daripada itu, seperti kubah, bilik, rumah, masjid dan lain-lain. Ini sebagaimana yang telah diterangkan oleh Al-Allamah Ali Syibramalisi di dalam Hasyiah Nihayah (jilid 3 : m/s 41 bab jenazah) dengan katanya:



" والمراد بعمارة ذلك بناء محل الميت فقط لا بناء القباب ونحوها "

Ertinya: “ Dimaksudkan dengan mendirikan binaan tersebut ialah binaan di tempat liang lahad simati (nabi, wali, ulama dan seumpamanya) sahaja, bukannya binaan segala kubah dan seumpamanya.”

Al-Allamah Ali Syibramalisi di dalam Hasyiah Nihayah juga menegaskan: “ Pendapat yang muktamad ialah apa yang dikatakan oleh Syeikh Ramli di dalam bab jenazah iaitu harus berwasiat untuk meratakan tanah kubur para nabi dan orang soleh serta membangunkan binaan (yakni binaan seperti simen, marmar) di atas kubur mereka di dalam tanah kubur yang disabilkan.”

(حاشية الشرواني على التحفة : كتاب الوصايا وما يتعلق به عند قول المتن واذا أوصى لجهة عامة فالشرط أن لا تكون معصية : ج 3/ ص 6)

Terdapat pendapat yang lemah di dalam mazhab syafie bahawa diharuskan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas seperti kubah, bilik dan lain-lain di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan yang disabilkan sebagaimana yang tersebut di dalam kitab ‘Iaanah AtThalibin (Fasal : solat ke atas simati, jilid 2 : m/s120) :



" وقال البجيرمي : واستثنى بعضهم قبور الأنبياء والشهداء والصالحين ونحوها (برماوي) , وعبارة الرحماني : نعم قبور الصالحين يجوز بناؤها ولو قبة لاحياء الزيارة والتبرك , قال الحلبي : ولو في مسبلة وأفتى به وقد أمر به الشيخ الزيادي مع ولايته..."

Ertinya: “ Al-Bujairimi berkata: Sesetengah ulama mazhab syafie mengecualikan (daripada hukum haram) kubur para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan seumpamanya (nukilan Barmawi). Teks Ar-Rahmani menyebut: Sungguhpun begitu, kubur orang-orang soleh diharuskan membina di atasnya, sekalipun binaan kubah bertujuan memakmurkan dengan ziarah dan mengambil berkat. Al-Halabi berkata: Walaupun di dalam tanah perkuburan yang disabilkan dan beliau berfatwa sebegitu. Sesungguhnya Syeikh Ziyadi memerintahkan supaya didirikan binaan tersebut ketika beliau berkuasa…..”

Kenduri Arwah

Mulla Ali Qari di dalam syarah kitab hadis Misykat (bab Mukjizat, jilid 5, m/s 482) mensabitkan hadis ‘Asim bin Kulaib bahawa Nabi s.a.w menerima jemputan daripada isteri simati serta memakan kenduri itu.Beliau menegaskan: “ Hadis ini melalui zahir lafaznya, menolak pendapat yang telah dihuraikan oleh Ashab Mazhab kami (pengikut-pengikut mazhab hanafi) iaitu:

1) Makruh mengadakan kenduri pada hari pertama, ketiga atau selepas seminggu kematian seperti yang dinyatakan di dalam kitab Bazzaziyah.
2) Tersebut di dalam kitab Khulasah bahawa tiada harus mengambil tetamu semasa tiga hari kematian. Az-Zaila’ie menyatakan: “ Tiada mengapa (diharuskan) keluarga simati menanti-nanti orang ramai kerana musibah kematian tanpa membuat perkara yang diharamkan seperti diletakkan hamparan-hamparan dan diadakan kenduri daripada pihak keluarga simati. Ibnu Himmam berkata:“ Dimakruhkan keluarga simati mengambil tetamu.”“ Sekalian ulama tersebut berhujah pendapat masing-masing dengan alasan bahawa kenduri itu disyarakan pada perkara kegembiraan bukannya perkara yang tidak elok (kematian). Kesemuanya itu adalah bidaah yang dicela.

Imam Ahmad dan Ibnu Hibban meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Jarir bin Abdullah berkata: Adalah kami (golongan sahabat) mengira bahawa berhimpun kepada keluarga simati dan mereka itu (keluarga simati) menyediakan jamuan termasuk di dalam ‘Niyahah’ (meratapi serta menyebut-nyebut kebaikan mayat).”Mulla Ali Qari mentakwilkan fatwa-fatwa ulama mazhab hanafi tersebut dengan beberapa sebab terjadinya hukum itu. Beliau menghuraikan maksud sebenar fatwa-fatwa tersebut yang bersandarkan kepada hadis Jabir yang melarang keluarga simati mengadakan jamuan supaya tidak bercanggah dengan hadis ‘Asim bin Kulaib yang menyatakan bahawa Nabi memakan kenduri keluarga simati, beliau berkata:“ Sayugia (sepatutnya) diselaraskan fatwa-fatwa mereka dengan suatu cabangan huraian yang tertentu, iaitu:-
1) Berhimpun bersama keluarga simati itu menyebabkan mereka (keluarga simati) terasa malu lalu terpaksa mengadakan kenduri untuk orang ramai.
2) Atau dimaksudkan bahawa perbelanjaan kenduri diambil daripada harta simati sedangkan salah seorang pewarisnya adalah kanak-kanak (iaitu terdiri daripada mereka yang tidak dibenarkan oleh syara untuk menguruskan harta peninggalan) atau tidak diketahui dimana pewaris itu berada ataupun tidak diketahui persetujuan pewaris terhadap perbelanjaan kenduri yang diambil daripada harta simati.
3) Atau kenduri tersebut, bukan daripada harta peribadi (selain pewaris), lagi perbelanjaan kenduri diambil daripada harta simati sebelum dibahagikan kepada pewaris dan seumpamanya (Ini kerana diharuskan keluarga simati mengadakan kenduri apabila pembelanjaannya daripada harta orang lain dan dilarang kenduri daripada harta simati sebelum dibahagikan kepada pewaris)Beliau menambah lagi: “

Di atas huraian inilah, difahami maksud sebenar pendapat Qadi Khan (ulama hanafi) yang berfatwa: Makruh keluarga simati mengambil tetamu di hari musibah kematian kerana ianya hari dukacita. Maka tidak layak dengannya diadakan kenduri sepertimana diadakan pada hari-hari kegembiraan. Jika keluarga simati mengadakan jamuan untuk orang miskin maka ianya perbuatan yang elok.”

Huraian Mulla Ali Qari sebagai ulama yang bermazhab hanafi ini bersamaan dengan huraian para ulama yang bermazhab syafie tentang kenduri yang diadakan oleh keluarga simati bagaimanakah ia menjadi haram atau makruh.

Ulama yang mengikuti Imam Syafie, menghuraikan masalah ini dengan berdasarkan penelitian mereka terhadap penafsiran Imam Syafie sendiri dimana pada suatu ketika beliau menghukumkan makruh kenduri yang diadakan oleh keluarga simati jika tiada bertujuan meratapi (Niyahah) dan membilang-bilang keelokan simati. Bukanlah setiap kenduri yang diadakan oleh mereka adalah haram semata-mata. Oleh itu, tiada kemusykilan berkenaan hadis ‘Asim bin Kulaib, sama ada Nabi s.a.w memakan jamuan yang disediakan oleh isteri simati ataupun disediakan oleh perempuan lain seperti yang cuba dikelirukan oleh sesetengah pihak.

Kenduri yang diharamkan

Diharamkan kenduri yang diadakan oleh keluarga simati atau jamuan yang disediakan untuk mereka bertujuan meratapi dan membilang-bilang kebaikan simati (Niyahah). Pengharaman kenduri tersebut adalah kerana ‘Niyahah’ itu sendiri diharamkan oleh jumhur ulama yang bersandarkan dengan hadis-hadis sahih. Di antaranya:-



" وروى عبد الله بن مسعود رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم : ليس منا من لطم الخدود وشق الجيوب ودعا بدعوى الجاهلية "

Ertinya: “ Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan daripada Nabi s.a.w bersabda: Bukanlah daripada kalangan kami, mereka yang menampar-nampar pipinya (ketika meratapi kematian), mencarik-carikan leher baju atau menyebut-nyebut (ketika dukacita) dengan sebutan yang diucapkan oleh orang-orang jahiliyah.” (Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Imam Nawawi menjelaskan di dalam kitab Majmuknya (bab jenazah, jilid 5, m/s 272): “ Adapun membilang-bilang keelokan simati (Nadbu), meninggikan suara kerana meratapi (Niyahah), menampar-nampar pipi, mencarik-carikan leher baju, melukakan wajah, melepas serta mengusutkan rambut atau mengucapkan ucapan celaka dan binasa, kesemuanya itu diharamkan dengan persetujuan pengikut-pengikut Syafie serta jumhur ulama menyatakan haram perkara tersebut.”Kerana inilah, Imam Nawawi berkata di dalam Minhajnya (lihat Syarah Mahalli, jilid 1: m/s 353) :



" ( وتحرم تهيئته للنائحات والله أعلم) لأنه اعانة على معصية "

Ertinya: “ (Haram menyediakan jamuan makanan kepada segala perempuan yang meratapi dan menyebut-nyebutkan keelokan simati, wallahu ‘aalam). Ini adalah kerana menyediakan jamuan tersebut bertolong-tolongan di atas perkara maksiat.”

Keterangan

Hukum haram kenduri daripada keluarga simati apabila diadakan untuk tujuan perkara-perkara yang dilarang oleh syara berkenaan dengan kematian seperti bertujuan meratapi dan membilang-bilang keelokan simati dan lain-lain sepertimana yang diterangkan oleh Mulla Ali Qari di atas. Tinggal lagi satu sebab yang menjadikan haram kenduri tersebut seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab muktabar mazhab syafie iaitu:- Perbelanjaan jamuan diambil daripada harta peninggalan sedangkan simati mempunyai hutang belum berbayar (sila rujuk buku kami yang bertajuk ‘Berkuburnya Kesangsian…’). Bukannya semata-mata diadakan jamuan oleh keluarga simati itu haram hukumnya.

Kenduri yang dimakruhkan

Kenduri yang diadakan oleh keluarga simati dimakruhkan apabila disediakan bagi orang ramai yang datang untuk mengucapkan takziah. Hukum ini difahami daripada perkataan Imam Syafie di dalam kitab Ummnya:



" وأكره المآتم وهي الجماعة وان لم يكن لهم بكاء فان ذلك يجدد الحزن وكلف المؤنة...."

Ertinya: “ Aku menghukumkan makruh beberapa jamuan iaitu perhimpunan, sekalipun ketiadaan tangisi (meratapi dan membilang-bilang kebaikan simati- ‘Niyahah’ & ‘Nadbu). Ini adalah disebabkan jamuan tersebut memperbaharui (mengingati kembali) dukacita kematian dan memaksa-maksa di atas mengeluarkan pembelanjaan….”

Imam Nawawi menerangkan perkataan Imam Agung ini bahawa dimakruhkan bagi keluarga simati menanti-nanti orang ramai datang mengucapkan takziah dan dimakruhkan juga mengadakan jamuan untuk mereka. Beliau menjelaskan di dalam kitab Majmuknya (bab jenazah, jilid 5, m/s 270-271):

“ Adapun keluarga simati menanti-nanti kedatangan orang ramai untuk mengucapkan takziah maka terdapat nas perkataan Imam Syafie (seperti yang termaktub di atas), nas pengarang (As-Syirazi) dan nas sekalian pengikut Imam Syafie yang menyatakan makruh hukumnya….”

Ibnu Hajar Al-Haitami menyatakan di dalam kitab Tuhfahnya (bab jenazah, jilid 3, m/s 227-228) hukum makruh kenduri yang diadakan oleh keluarga simati dengan bersandarkan hadis Jarir yang berbunyi:



" كنا نعد الاجتماع الى أهل الميت وصنعهم الطعام بعد دفنه من النياحة "

Ertinya: “ Adalah kami (para sahabat) mengira bahawa berhimpun kepada keluarga simati dan mereka itu (keluarga simati) menyediakan jamuan selepas dikebumikannya, termasuk di dalam ‘Niyahah’ (meratapi serta menyebut-nyebut kebaikan mayat).”

Beliau menjelaskan: “ Sebab dikira mengadakan jamuan oleh keluarga simati termasuk dalam ‘Niyahah’ kerana ada unsur terlampau mengambil berat soal dukacita kematian. Kerana inilah, dimakruhkan bagi mereka yang sengaja berhimpun bertujuan menunggu-nunggu kedatangan orang ramai untuk mengucap takziah…”

Terdapat beberapa sebab lagi yang menjadikan makruh kenduri yang diadakan oleh keluarga simati seperti yang dinyatakan oleh Al-Allamah Ali Syibramalisi (lihat hasyiah Syarwani, jilid 3, m/s 227): “ Diantara hukum makruh kenduri yang diadakan oleh keluarga simati ialah kenduri yang masyur dikenali dengan ‘Wahsyah’ (jamuan yang diadakan bertujuan menghilangkan rasa sunyi dan dukacita disebabkan kematian) yang diketahui oleh masyarakat (pada zaman itu di kalangan masyarakat Arab).”

Tinggal lagi satu sebab yang menjadikan makruh kenduri tersebut sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-kitab muktabar ulama mazhab syafie ialah apabila diadakan jamuan tanpa apa-apa tujuan atau kerana kematian semata-mata mengikut kebiasaan sesuatu tempat pada hari-hari ditentukan tanpa disertai dengan meratapi dan membilang-bilang kebaikan simati.(Sila rujuk buku kami yang bertajuk ‘Berkuburnya Kesangsian….’)

Kenduri yang diharuskan

Ahli keluarga simati menyediakan jamuan bagi orang ramai yang datang bertahlil dan membaca Al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada simati adalah diharuskan. Tujuan jamuan ini hanyalah mengalakkan orang ramai datang serta membalas budi mereka kerana menolong simati dengan menghadiahkan pahala zikir dan tilawah Al-Quran kepadanya.

Justeru itu, jamuan sebegini tiada diharamkan atau dimakruhkan kerana tidak bertujuan mengingati kembali dukacita kematian dan tiada unsur mengambil berat soal dukacita.Perlu mengetahui bahawa setiap hukum yang diputuskan dengan haram atau makruh berdasarkan sebab(العلة) yang mencetuskan hukum tersebut.

Contohnya seperti sebab diharamkan kenduri daripada keluarga simati yang bertujuan meratapi dan membilang-bilang kebaikan simati ialah ‘Niyahah’ (meninggikan suara dengan meratapi) dan ‘Nudbah’ (membilang-bilang keelokan simati) yang diharamkan oleh syara. Sebab dimakruhkan kenduri tersebut pula ialah ada unsur mengingati kembali dukacita kematian dan unsur mengambil berat soal dukacita. Maka jamuan yang diadakan bagi orang ramai yang bertahlil dan bertilawah itu tiada unsur-unsur tersebut untuk dihukumkan sebagai makruh sebagaimana yang terdapat di dalam kenduri bagi orang ramai yang datang mengucapkan takziah. Jauh sekali untuk dihukumkan dengan haram kerana tiada terdapat Niyahah atau Nudbah.

Kaedah di dalam ilmu usul fiqh ada menyebut:



" ألعلة تدور مع المعلول وجودا وعدما "

Ertinya: “ Sebab (‘illat) terjadinya sesuatu hukum adalah selaras dengan masalah yang dihukumkan dari segi wujudnya sebab tersebut ataupun tiada (yakni dihukumkan haram, makruh dan sebagainya apabila ada sebab atau ‘illat hukum terbabit. Jika tiada sebab tersebut maka tidak dihukumkan dengan sedemikian).”

Kenapakah berlainan kenduri keluarga simati untuk orang ramai yang datang bertahlil dan bertilawah dengan kenduri bagi para hadirin untuk mengucapkan takziah? Cuba memahami dahulu takrif takziah iaitu sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Tuhfah Ibnu Hajar Haitami (bab jenazah, jilid 3, m/s 193):

“ Takziah itu ialah memberitahu supaya bersabar menghadapi musibah kematian serta menanggung kesabaran untuk memperolehi pahala, memberi peringatan tentang dosa keluh resah (dengan takdir Allah) atau berdoa untuk mayat muslim serta berdoa untuk keluarga simati yang ditimpa musibah kematian supaya digantikan musibah kematian dengan pahala ganjaran.”

Lantaran takziah mengandungi perkara tesebut, apabila keluarga simati menyediakan jamuan untuk para hadirin yang datang untuk memberi takziah maka seolah-olah keluarga simati mengambil serius tentang soal dukacita dan memperbaharuinya. Ini disebabkan mereka seakan-akan menghendaki rasa simpati daripada orang ramai di atas dukacita yang mereka hadapi iaitu musibah kematian lalu mereka mengharap-harapkan serta ternanti-nanti orang ramai menyabarkan mereka atau berdoa kepada mereka. Sama ada menunggu-nunggu tersebut dengan semata-mata berhimpun mahupun dengan diadakan kenduri maka kedua-duanya adalah dimakruhkan.Berlainan sekali dengan kenduri arwah untuk mereka yang datang bertahlil serta betilawah untuk dihadiahkan kepada simati, semata-mata bertujuan menggalakan, membalas budi dan menghubungkan silaturahim dengan mereka. Ianya tiada unsur memperbaharui dan mengambil berat soal dukacita.

Pahala Bacaan Yang Dihadiahkan Kepada Simati

Berlaku perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang adakah sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran atau zikir kepadanya ataupun tidak. Di dalam mazhab syafie terdapat dua pendapat mengenainya:-

Pendapat yang pertama adalah pendapat sebahagian pengikut Imam Syafie yang mengatakan sampai pahala bacaan kepada orang yang telah mati.

Pendapat yang kedua pula ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim (kitab zakat, bab sampai pahala sedekah kepada simati):
“ Pendapat yang masyhur di dalam mazhab syafie bahawa pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada orang telah meninggal.”

Pendapat yang pertama adalah pendapat yang muktamad di dalam mazhab syafie manakala pendapat yang kedua adalah pendapat yang lemah sebagaimana yang diterangkan oleh Syeikh Bujairimi di dalam Hasyiah Fathul Wahhab (kitab wasiat, فصل في أحكام معنوية للموصى به... , jilid 3, m/s 286).

Faktor yang menyebabkan pendapat yang masyhur di dalam mazhab syafie tersebut adalah lemah dan tidak kuat ialah bahawa ijmak para ulama yang menyatakan pahala sedekah dan doa kepada simati itu sampai kepadanya. Ini kerana makna mendapat manfaat simati dengan sedekah dan doa daripada orang yang hidup adalah sebagaimana yang diterangkan oleh Syeikh Ramli di dalam kitab Nihayah (kitab wasiat, jilid 6, m/s 92) :

“ Makna simati mendapat manfaat dengan sedekah ialah diletakkan kedudukan simati pada tempat orang bersedekah (yakni seolah-olah dia bersedekah)…Imam Syafie berkata: “ Keluasan rahmat Allah Taala ialah bahawa Dia memberi pahala kepada orang yang bersedekah juga.”…

.Makna simati mendapat manfaat dengan doa serta mendapat pahalanya ialah sampai perkara yang didoakan untuknya, apabila diperkenankan doa itu. Diperkenankan doa tersebut adalah semata-mata kurniaan Allah Taala….”Imam Nawawi menerangkan di dalam kitab Raudah (kitab jenazah, jilid 2, m/s 58): “…..Maka berdoa selepas saja membaca Al-Quran adalah terlebih hampir diperkenankan dan doa itu memberi manfaat kepada simati (secara ijmak ulama).”Ibnu Hajar Al-Haitami menjelaskan di dalam Fatwa Kubranya (bab wasiat, jilid 4, m/s 20): “ Adapun berdoa untuk disampaikan seumpama pahala kepada orang lain (simati) maka tiada mengapa kerana ianya terdiri daripada perbuatan berdoa bagi saudara muslim tanpa kehadirannya (tanpa pengetahuannya). Banyak hadis-hadis yang menunjukkan di atas dimakbulkan doa ini (doa bagi saudara muslim tanpa pengetahuannya) dan selainnya. Lebih-lebih lagi, tidak terdapat larangan padanya maka tiada ada satupun alasan untuk menegahannya.”

Lantaran itu, pendapat yang mengatakan secara umum bahawa tiada sampai pahala bacaan kepada simati dikira sebagai lemah. Ini jelas, apabila disedekahkan pahala bacaan atau berdoa supaya disampaikan pahala itu kepadanya necaya dia memperolehi pahala tersebut kerana sampainya pahala sedekah dan doa untuk simati adalah merupakan ijmak di kalangan ulama.

Oleh kerana inilah, kebanyakan ulama mazhab syafie telah mentakwil serta menerangkan maksud sebenar pendapat yang kedua yang dinukilkan oleh Imam Nawawi itu, di mana mereka menjelaskan bahawa tidak sampainya pahala bacaan Al-Quran, apabila dibacakan bukan di hadapan mayat atau sipembaca tidak meniatkan pahala bacaannya kepada simati serta tidak mendoakan supaya pahala itu disampaikan kepadanya (lihat Tuhfah-kitab wasiat, jilid 7, m/s 87, Nihayah-kitab wasiat, jilid 6, m/s 93 dan lain-lain).

Pendapat pertama yang menyatakan bahawa sampai hadiah pahala bacaan kepada orang yang telah meninggal dunia terbahagi kepada dua pendapat pula:-
1) Ibnu Hajar Al-Haitami berpendapat (menyamai dengan pendapat Syeikh Zakaria Al-Ansori di dalam Fathul Wahhab) bahawa tidak memadai dengan niat semata-mata bahkan mestilah disertai dengan berdoa menyampaikan pahala bacaan kepada orang yang mati. Beliau menjelaskan masalah niat tanpa berdoa, dengan katanya:
“ Mendapat pahala manfaat (keberkatan dan rahmat yang hasil daripada bacaan), tidak pahala bacaan (lihat kitab Burgyatul Mustarsyidin bab الموصى به, m/s 320).

Ali Syibramalisi menyatakan pendapat ini adalah pendapat yang lemah sebagaimana difahami daripada perkataan Syeikh Ahmad Bin Qasim (lihat Hasyiah Ali Syibramalisi bagi Nihayah, kitab Wasiat, jilid 6, m/s 93, Hasyiah Syarwani dan Ibnu Qasim bagi Tuhfah jilid 7, m/s 87).

2) Pendapat Syeikh Ramli yang menyatakan bahawa memadai hanya dengan niat disampaikan pahala bacaan Al-Quran kepada orang telah meninggal dunia. Pendapat ini bertepatan dengan pendapat mazhab Maliki, Hanafi dan Hambali (lihat kitab Burgyatul Mustarsyidin bab الموصى به, m/s 320).

Kesimpulan yang dijelaskan oleh Syeikh Ramli tentang sampai pahala bacaan Al-Quran kepada simati itu jika terdapat salah satu keadaan berikut:-
1) Niat menyampaikan pahala bacaan Al-Quran kepada orang yang telah mati (di hadapan jenazah ataupun tidak).
2) Berdoa supaya disampaikan pahala bacaan itu kepada orang yang telah mati.3) Membaca Al-Quran di kubur.(Lihat Hasyiah Ibnu Qasim bagi Nihayah, kitab wasiat, jilid 7, m/s 87)

*Adapun disisi Ibnu Hajar Al-Haitami, tiada memadai hanya dengan niat untuk disampaikan pahala bacaan kepada jenazah yang ada di hadapan, bahkan mesti berdoa supaya disampaikan pahala bacaan itu kepadanya. Beliau bersandarkan dengan pendapat yang dipilih oleh Imam Nawawi di dalam kitab Azkarnya. Tambahan lagi, beliau bersandarkan dengan perkataan Imam Syafie, dengan katanya: “ Sesungguhnya nas Imam Syafie dan sekalian pengikutnya mengenai sunat membaca Al-Quran yang mudah (ayat atau surah yang pendek) di sisi simati serta berdoa selepas bacaan itu, bermaksud bahawasa ketika itu terlebih diharap ianya diperkenankan dan simati mendapat berkat bacaan itu sepertimana orang hidup yang hadir….” (Rujuk Tuhfah serta Hasyiah Syarwani dan Ibnu Qasim, kitab wasiat, jilid 7, m/s 88).

Penutup

Setakat ini yang dapat kami terangkan kepada masyarakat terhadap masalah yang diperbahaskan. Kami hidangkan kupasan tersebut yang dicedok daripada gedung-gedung keilmuan yang terkandung di dalam kitab-kitab para ulama muktabar mazhab syafie. Semenjak dari zaman sahabat lagi, seterusnya ke zaman tabien, tabiu-tabien hingga ke hari ini, umat islam berpegang teguh dengan para imam mujtahid serta huraian para ulama yang mengikutinya. Lihat saja, bahawa imam-imam yang empat (Imam Hanafi, Malik, Syafie dan Hambal) adalah termasuk di dalam golongan salafussolihin. Kewajipan mengikuti imam mujtahid merupakan ijmak di kalangan para ulama melainkan pengingkaran daripada mereka yang menyimpang daripada manhaj salaf iaitu manhaj Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Hanya kepadaNya sahaja yang dapat memberi taufik-hidayat terhadap golongan yang sesat, disesatkan dan menyesatkan agar kembali kepada jalan yang lurus. Wala haula wala quwwata illa biLLah.

WaLLahu ‘Aklam….

وصلى الله وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم باحسان أي بايمان أو بتقوى الى يوم الدين والحمد لله رب العالمين

Disusun oleh:
USTAZ NIK MOHD NAZIMUDDIN BIN NIK IBRAHIM
PONDOK PASIR TUMBOH KOTA BHARU
KELANTAN SERAMBI MEKAH
5hb Jun 2008M Bersamaan 1hb Jumadas-Saniah 1429H

16.6.09

LIMA TANDA HATI KERAS MEMBATU

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan
Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran
Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat
Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah
Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah
Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat. "Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pel ajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126)

ANAK TAK SAH TARAF DARI PERSEPEKTIF ISLAM

Muqaddimah

Perkahwinan adalah satu ibadat dan sunnah Rasulullah SAW yang merupakan pelaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia. Ia bertujuan menjalinkan ikatan teguh antara lelaki dengan perempuan melalui akad nikah yang sah. Perkahwinan disyari`atkan dalam Islam melalui akad nikah yang sah. Perkahwinan disyari`atkan untuk mengembangkan zuriat manusia melalui cara yang halal sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisaa` ayat 1 :

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu Yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri Yang satu (Adam), dan Yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga Yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan Yang ramai.

Sebaliknya Islam mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sebelum akad nikah. Ini bagi mengelakkan terjadinya perlanggaran terhadap hukum Allah yang menyebabkan manusia terjebak kepada pelbagai masalah antaranya melahirkan anak luar nikah.

Pengertian

Anak luar nikah atau anak tak sah taraf adalah anak yang lahir daripada ibu yang tidak mempunyai sebarang ikatan perkahwinan dengan lelaki yang menyetubuhinya dan bukan anak daripada perhubungan perkelaminan salah sangka ( wati syubhah ).
Dalam kebanyakkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia, anak tak sah taraf ditafsirkan sebagai : Seorang anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu samada berpunca daripada perbuatan zina atau dirogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum Syara`.

Anak tak sah taraf juga bukan anak daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan atau anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah daripada tarikh akad nikah. [1]

Anak tersebut (TST) dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah (tahun qamariyyah) dari waktu “Imkan al-Dukhul” dan ia bukan daripada persetubuhan syubhah.

Manakala anak tersebut juga (TST), boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya dengan syarat lelaki tersebut tidak menafikan yang anak tersebut bukan daripada hasil hubungannya dengan ibu kepada anak berkenaan. Disamping itu juga tidak berlaku penafian oleh kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa kepada anak tersebut, juga pengisytiharan penafiannya tidak dihebahkan kepada orang ramai, dan anak tersebut lahir setelah enam bulan atau lebih daripada tarikh pernikahan, maka anak tersebut dikira sebagai anak yang sah taraf menurut pandangan Islam walaupun anak tersebut terhasil sebelum dari akad nikah yang sah dan lelaki tersebut menanggung segala yang telah diperakukannya.[2]

Kedudukan Anak Tak Sah Taraf

Persoalan anak tak sah taraf adalah satu persoalan berat mengikut hukum syara` kerana ia melibatkan nasab keturunan, pesaka, wasiat, perwalian, nafkah, pergaulan dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda :
(( الوَلدُ لِلْفِرَاش وَلِلعَاهِرْ الحَجَرْ ))

Maksudnya : “ Anak luar nikah itu adalah hak ibunya dan bagi bapa (penzina) adalah batu sahaja (pembalasan)”.

Daripada hadith ini jelas bahawa anak yang dilahirkan di luar nikah atau disebabkan oleh perzinaan, maka ianya dinasabkan kepada ibunya dan bapa penzina / perogol tidak mendapat apa-apa.

Tempoh Minimum Kehamilan

Tempoh paling minimum adalah enam bulan ( Qamariyyah) dan dua lahzah.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat 15 :

Maksudnya : “ Tempoh mengandungnya beserta Dengan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan ”.

Seterusnya firman Allah di dalam Surah al-Baqarah :

والوالدات يرضعن أولادهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة

Maksudnya : “ Dan ibu-ibu yang menyuskan anaknya selama dua tahun (sempurna) bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan penyusuan ”.

Berdasarkan dua ayat inilah para Fuqaha` menentukan bahawa tempoh minimun kehamilan ialah enam bulan qamariyyah dan dua lahzah. Iaitu lahzah percantuman benih suami isteri dan lahzah berlakunya kelahiran.
Pendapat Fuqaha` berkenaan al-Dukhul al-Haqiqiyy atau Imkan al-Dukhul

1) Imam Abu Hanifah :
Sesungguhnya nasab itu disabitkan dengan semata-mata akad nikah yang sahih walaupun suami dan isteri tidak sempat berjumpa ( Dukhul). Sekiranya suami di barat dan isteri di tiumr bernikah dan kemudiannya mendapat zuriat, maka anak tersebut dinasabkan kepadanya (suami) sekalipun tidak sempurna pertemuan (dukhul) di antara keduanya selepas akad.[3]

2) Imam al-Syafie, Malik dan Ahmad ( salah satu qaul Ahmad ) :
Sesungguhnya nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dengan Imkan al-Dukhul dan al-Talaaqi. [4]

3) Pendapat Imam Ahmad ( qaul lain)
Nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dukhul haqiqiyy.[5]


Tempoh dan keadaan untuk Menafikan Nasab

Berkata Imam Malik , al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah :
Seseorang lelaki boleh dan hendaklah menafikan kandungan isterinya semasa hari kandungannya dan melakukan penafian dengan meli`an isterinya di Mahkamah.

Imam Malik juga berpendapat bahawa sekiranya seseorang lelaki berada di samping isterinya semasa isterinya sedang mengandung, maka tempoh untuk menafikan anak tersebut bermula dari isteri mula mengandung sehingga bersalin. Tidak ada penafian lagi selepas isteri melahirkan anak tersebut.

Adapun sekiranya seseorang suami bermusafir atau ghaib semasa isterinya mengandung sehinggalah melahirkan anak tersebut, maka baginya (suami)menafikan anak tersebut apabila ia (suami) mengetahuinya.

Para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang lelaki mengingkari nasab anaknya, maka wajib melakukan li`an di antaranya dan isterinya. Begitu juga para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang suami telah menerima anaknya sebelum daripada menafikan nasabnya – samada penerimaannya sebelum itu adalah secara soreh (lafaz yang jelas) atau dengan perbuatan yang menunjukkan penerimaannya seperti menerima ucapan tahniah, memberi didikan atau mengasihani anak tersebut seperti selayaknya seorang bapa mengasihi anaknya – maka tidak ada lagi baginya selepas itu HAK MENAFIKAN bahawa anak tersebut bukan dari keturunannya.

Sekiranya seseorang suami menafikan nasab anak tersebut selepas penerimaannya (lafaz soreh atau melalui perbuatan dan tindak tanduknya), maka wajib ke atasnya Had Qazaf.

Kedudukan Anak Tak Sah Taraf dari Segi Hukum Syara`.

a) Nasab Keturunan dan Penamaan

Dia tidak harus dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Dia juga tidak boleh dibin atau dibintikan kepada ibunya kerana mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada anak tersebut. Dia hendaklah dibin atau dibintikan kepada salah satu nama Asma` al-Husna atau sifat-sifat Allah yang berpangkalkan Abdul.

Surah al-Ahzab ayat 5 :

Maksudnya : “ Panggilah anak-anak angkat itu Dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah ”.
Rasulullah SAW telah memutuskan (qadha) di antara suami dan isteri yang telah berli`an bahawa anak perempuan (isteri) itu tidak dibin atau dibintikan kepada ayahnya (suami).


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali pertama pada 28-29 Januari 1981 telah memutuskan “ anak zina atau anak luar nikah (anak tak sahtaraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua-dua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah ”.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan :

GARIS PANDUAN MENGENAI ANAK TAK SAH TARAF
MENURUT HUKUM SYARA’

Sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ ialah:
(1) Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau
melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara’.

(2) Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.

(3) Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’.[6]

( Warta pada 28hb April 2005 )

b) Kewajipan Memberi Nafkah

Segala nafkah dan sara hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibunya. Ini kerana anak tersebut dinasabkan kepada ibunya dan bukan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

c) Hak Mewarisi Harta Pusaka

Anak tak sahtaraf tidak terpuus hubungan dengan ibunya. Maka kedua-duanya boleh mewarisi antara satu sama lain. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka ia mempunyai hak untuk mewarisi harta pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitulah sebaliknya jika ia meninggal terlebih dahulu. Seseorang anak tak sah taraf tidak boleh sama sekali mewarisi harta pusaka orang yang menyebabkan kelahirannya (bapanya yang tak sahtaraf) kerana ia bukan ahli waris, begitu juga sebaliknya bapa itu tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya.

d) Hak Perwalian dalam Perkahwinan dan Penjagaan

Wali kepada anak tak sahtaraf secara amnya adalah terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun perwalian dalam pernikahan anak perempuan tak sahtaraf ditetapkan kepada wali hakim. Ini kerana seseorang perempuan tisak sah menjadi wali di dalam urusan perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya sebelum akad nikah yang sah, samada ia (lelaki) berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tetap tidak sah menjadi walinya. Berhubung dengan penjagaan anak tak sahtaraf adalah dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada ibu dan saudara mara sebelah ibunya kerana tiada bukti yang boleh disabitkan siapakah sebenarnya lelaki yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Walau bagaimanapun perkahwinan seseorang anak tak sahtaraf (perempuan) dengan seseorang lelaki biasa adalah sah.

e) Hubungan Mahram

Perhubungan anak tak sahtaraf dengan anak-anak dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang satu. Tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga bapanya yang tidak sah itu.

Jika dia seorang perempuan maka wuduknya dan wuduk suami ibunya tidak batal apabila bersentuhan. Pergaulan antaranya dan suami ibunya adalah pergaulan anak tiri dengan bapa tirinya.

f) Kematian dan Perkara yang Berkaitan

Seseorang anak tak sahtaraf yang belum baligh adalah mengikut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang beragama Islam. Dengan demikian, mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang Islam maka ia dihukum sebagai seorang yang bukan beragama Islam, sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya itu seorang Islam. ( berlainan sedikit dengan anak temuan, al-Laqiit ).

g) Amal Kebajikan / Perlindungan

Jika semasa hidupnya dia telah melakukan amal soleh samada untuk dirinya atau untuk masyarakat, maka segala manfaatnya dari segi pahala atau lain-lain akan kembali kepada dirinya. Tidak ada bezanya di antara dirinya dengan diri orang-orang soleh yang lain.

Kalau dia berilmu tinggi dia harus memegang apa sahaja jawatan yang diberikan kepadanya, samada yang berkaitan dengan urusan agama atau urusan-urusan lainnya.

Seorang anak tak sahtaraf hendaklah diberi perlindungan dan juga nafkah sama seperti anak-nak lain dari sudut agama dan undang-undang. Dia juga berhak mendapat perlindungan sepenuhnya daripada ibunya, keluarga ibunya dan pemerintah.

h) Anak Tiada Identiti

Jika seseorang anak yang tidak dikenalpasti identitinya (anak pungut) dan tidak dapat ditentukan keturunannya iaitu samada Islam ataupun bukan Islam, maka adalah menjadi tanggungjawab pihak pemerintah Islam / pentadbir (kerajaan) membesarkannya menerusi rumah kebajikan dalam menjaga kebajikannya serta mendidiknya menurut agama Islam.



Penutup

Dari huraian di atas, dapatlah difahami bahawa seorang anak tak sahtaraf bukanlah seorang insan yang terbiar dan tidak bermaruah. Malahan dari sudut agama dan undang-undang dia mendapat perlindungan sepenuhnya.

Masyarakat hendaklah memberi pertimbangan yang adil terhadap kedudukannya. Dengan itu diharapkan akan terhapus tekanan yang sering menghantui hidupnya. Dengan itu dia mampu menjadi insan yang soleh dan berguna untuk agama, bangsa dan negaranya.
[1] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke - 57 bertarikh 10hb. Jun 2003 telah membuat keputusan 6 bulan 2 lahzah mengikut Taqwim Qamariyyah daripada tarikh Tamkin (persetubuhan).
[2] Garis panduan mengenai anak tak sah taraf menurut hukum syara` - Dato` Setia Hj. Mohd Tamyes bin Abdul Wahid, Dato` Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor.
[3] al-Sarakhsi: al-Mabsut 17/156, al-Kasaani: al-Bada`ei` 3/212, ibn `Abidin: al-Haasyiyah 3/547.
[4] al-Syirazi: al-Tanbih ms 190, al-Syirazi: al-Muhazzab 2/120, al-Bahuti: Kashf al-Qinaa` 5/406.
[5] al-Mardaawi : al-Ansaf 9/258.
[6] Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara` (FATWA) Negeri Selangor Ke - 3/2004 pada 9hb. Mei 2004.

FIKRAH : NABI LIHAT 10 SEKSAAN TIMPA WANITA

Koleksi-Koleksi Terbaik has posted a new item, 'Fikrah: NabiLihat 10 Seksaan Menimpa Wanita '
RASULULLAH saw menangis setiap kali mengenangkan 10 jenis seksaan yang dilihat menimpa wanita ketika Baginda melalui peristiwa Israk Mikraj. Antaranya perempuan yang digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.

Seksaan lain yang diperlihatkan kepada Baginda ialah perempuan yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan dari punggung dan minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan kata-katanya.

Baginda juga melihat bagaimana perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

Ada pula perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking. Mereka adalah perempuan yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin suaminya terlebih dulu dan tidak mandi iaitu tidak bersuci selepas habis haid dan nifas.

Selain itu, Baginda juga melihat perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.
Baginda juga melihat perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.

Seksaan lain yang dilihat Baginda ialah perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.

Ada pula perempuan yang Baginda nampak rupanya berbentuk anjing dan beberapa ekor ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.

“Sayang pada isteri,anak-anak perempuan berpada-pada jangan biarkan kasih sayang kita menjadi penyebab kita dan mereka menghuni neraka… ”
NAU’ZUBILLAH…

10 CARA MEMBINA MOTIVASI DIRI

Posted: 04 May 2009 05:59 AM PDT

Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang dan lepaskan sekali gus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, "Hai, engkau dijadikan bukan untuk berkeluh-kesah.” Kemudian bangkitlah dan cuba lakukan perkara-perkara berikut:

1. Perbaiki imej anda Cuba lakukan sedikit perubahanKalau selama ini anda tidak kisah kalau seluar yang dipakai sehingga seminggu dan tidak bergosok, cuba kali ini menukarnya selalu dan pelbagaikan warnanya. Jika anda wanita, tukar imej kusam kepada kemas. Elegan dan aktif. Perkemaskan juga wajah anda denga sedikit solekan ringan. Kenakan warna-warna ceria pada tubuh anda; pada baju dan tudung. Hiasi jari dengan sebentuk cincin untuk menambah seri. Jangan terlalu pendiam, tetapi jangan pula terlalu bising. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika orang meminta pendapat.

2. Lakukan senaman ringan

3. Senyum
Senyum boleh mengubah segala-galanya.Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda akan mendapat senyumannya balik.

4. Berfikiran positif
Berfikiran positif membolehkan minda anda mengeluarkan arus alpha iaitu arus kecemerlangan untuk membina kejayaan. Berfikiran positif juga membuatkan perkara yang sukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan lebih cerah dan insyaAllah rezeki pun akan meluas. Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah menjadi satu pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH.

5. Dapatkan tidur yang mencukupi
Rungsing dan marah-marah kadangkala disebabkan keletihan akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi. Tidur yang tidak mencukupi akan mencetuskan arus theta atau arus delta, dua arus kemunduran.

6. Luahkan pada seseorang
Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda berasa tidak stabil seperti ini, bahkan dalam suasana yang biasa pun anda memerlukan seorang sahabat.

7. Curahkan di atas kertas
Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudian bakar dan hanyutkan ke sungai. Terasa lega.

8. Bersedia untuk berubah
Jangan teragak-agak untuk melakukan perubahan. Jika orang lain boleh, mengapa anda tidak? Apa istimewanya orang lain, sedang anda juga makhluk ALLAH yang dikurniakan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan tertentu.

9. Cari kegemaran baru
Sesetengah daripada kesukaan kita akan sampai kepada penghujungnya. Hobi juga begitu. Maka apabila anda mula merasakan hidup ini mulai kosong carilah kegemaran-kegemaran baru. Tidak salah bermain game misalnya, untuk melihat adakah minat anda boleh tumbuh di sini.

10. Bertegaslah
Bertegaslah dengan diri anda sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya.

DISEBALIK KONTROVERSI MAHKAMAH SYARIAH

Sejak kebelakangan ini, kita sering dimomokkan dengan pelbagai kontroversi yang melibatkan kredibiliti Mahkamah Syariah seolah-olah tidak berpenghujung. Terlintas di benak Penulis, Apakah badi yang ada pada Mahkamah Syariah sehingga kontroversi dan Mahkamah Syariah adalah sesuatu yang sinonim dan biasa?

Pertama, kontroversi berkaitan Pindaan Rang Undang – Undang Keluarga Islam yang dibantah oleh sebuah kumpulan bertindak yang diringkaskan disebut JAG yang dipelopori SIS berkaitan 5 seksyen di dalam rang undang –undang itu dikatakan menzalimi wanita. Tidak perlulah Penulis menghuraikan kesemuanya sekali kerana semua telah maklum mengenainya. Cuma Penulis mengambil satu seksyen yang dipertikaikan sebagai contoh sahaja iaitu Seksyen 53. Di dalam seksyen 53 (1) dimana sebelum ini tiada menyatakan seseorang lelaki boleh memohon fasakh dan hanya dikhususkan permohonan cerai kerana fasakh oleh wanita. Melalui sek. 53 (1) (pindaan terkini) dianggap memberi hak pihak lelaki untuk memohon cerai secara fasakh.

Jika benar peruntukan ini menyebabkan timbul kezaliman terhadap kaum wanita, satu persoalan lain timbul? Dari mana sumber yang diambil oleh penggubal sehingga berani membuat pindaan sedemikian rupa? Apakah tujuan sebenar pindaan di buat? Pada Penulis perkara ini adalah bersamaan hak antara lelaki atau perempuan selain ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak, tiada nas yang menyatakan bahawa lelaki tidak boleh mohon cerai fasakh. Tetapi sebaliknya ada. Perkara ini disebut dalam Kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu terbutan Dar al-Fikr tahun 1989 juzuk 7, muka surat 517 yang bermaksud :

“ Imam Malik dan Shafie berpendapat nikah boleh difasakhkan melalui tuntutan pihak suami atau isteri apabila terdapat kecacatan yang melibatkan alat kelamin pada pasangannya. Ataupun apabila terdapat penyakit-penyakit yang menjauhkan orang seperti gila, kusta ataupun sopak.”

Sebenarnya tidak timbul isu bahawa kuasa cerai hanya ditangan suami (melalui lafaz talaq) sudah memadai. Selain ianya memenuhi konsep ‘keadilan’ dan undang-undang, ia juga boleh mengelakkan pihak suami menggunakan jalan pintas dengan menceraikan isteri di luar Mahkamah. Dan yang penting adalah semua pihak yang benar pasti mendapat keadilan yang sewajarnya.

Adalah sesuatu yang biasa apabila membuat sesuatu undang-undang, pihak penggubal memastikan ianya adalah bertujuan untuk keadilan semua pihak tanpa mengira gender, darjat dan pangkat. Adakah suatu KEMESTIAN bagi undang-undang di Mahkamah Syariah perlu membela wanita sahaja? Oleh itu, di mana letaknya keadilan bagi pihak lain? Keadilan adalah sesuatu yang subjektif dan tidak boleh diukur melalui jantina semata-mata. Oleh itu, kita tidak perlu cepat melatah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang seolah-olah kita bukan sahaja menentang Undang-undang ciptaan manusia sebaliknya kita mempertikaikan Undang-undang yang telah ditetapkan Maha Pencipta kita sendiri.



Saranan

Adalah dialu-alukan untuk mengkaji semula undang-undang tersebut bagi memantapkan penggunaan undang-undang dan mengenalpasti kelemahan yang ada. Namun, perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan hak mana-mana orang sama ada lelaki atau perempuan..

14.6.09

KHILAF SUAMI ISTERI KATA SIAPA HARUS DIPAKAI ?

Oleh Abu Razeen

Abstrak
PETALING JAYA: Sumpah pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim, 34, bahawa dia tidak pernah melakukan hubungan kelamin dengan bekas isteri dalam tempoh 12 hari perkahwinan mereka diterima Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam. Hakim Syarie Jamil Ahmad dalam penghakimannya berkata, bekas isteri Roslin, Faizah Mohamad, 32, memberitahu dia pernah melakukan hubungan kelamin tetapi pemain badminton itu menafikannya.

“Mahkamah menerima sumpah defendan (Roslin) yang menjelaskan mereka tidak melakukan persetubuhan walaupun sebelum ini plaintif (Faizah) dalam keterangannya menyatakan pernah bersetubuh sebelum bekas suaminya melafazkan cerai. “Oleh kerana tiada persetubuhan, mahkamah tidak perlu menetapkan tempoh edah kepada Faizah dalam perceraian ini. Kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kecuali dengan perkahwinan semula,” katanya. Jamil berkata, lafaz cerai yang dibuat pemain badminton itu nyata serta tiada paksaan daripada pihak lain. Justeru, mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat pemain badminton negara terhadap bekas isterinya Februari lalu sah dengan talak ba’in sughro (talak tidak boleh dirujuk semula) kali pertama dengan satu talak. Dalam kes yang dirujuk, pihak suami dan isteri telah bertikai samada berlaku persetubuhan atau tidak sebelum perceraian berlaku. Hakim perlu memutuskan samada berlaku persetubuhan atau tidak kerana ini melibatkan kesan dan hak selepas penceraian. Hak tersebut meliputi mahar, iddah, rujuk dan lain-lain kesan yang lahir daripadanya. Kertas ini menyatakan rujukan berkaitan keputusan tersebut.

Perbahasan
Rujukan pertama:
Kitab Al-Ashbah Wannazair, Imam Jalaluddin Assayuti Jilid 1 ms 127 Darul Kutub Ilmiah, Beirut 2001 (lampiran 1) dipetik:
قَاعِدَة : الْأَصْلُ الْعَدَمُ فِيهَا فُرُوعٌ : مِنْهَا : الْقَوْلُ قَوْلُ نَافِي الْوَطْءِ غَالِبًا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ الْعَدَمُ

“Kaedah: ‘Asal sesuatu adalah tidak wujud’ baginya beberapa subtopik, antaranya: Dakwaan yang dipilih adalah tidak berlakunya persetubuhan, dakwaan ini lebih kuat kerana ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’”.

Dalam kitab rujukan ini, kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ adalah lebih dominan dan banyak digunakan dalam masalah khilafiah untuk mazhab Shafie. Kaedah diatas adalah rangkaian yang terbit dari kaedah utama ‘الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكّ’ atau ‘Keyakinan tidak digugat dengan perasaan syak’. Kaedah kedua dari 5 kaedah utama yang digariskan oleh Imam Jalaluddin Assayuti. Mendasari kaedah ini adalah sebuah Hadis dari Abi Hurairah berbunyi:

الْقَاعِدَةُ الثَّانِيَةُ : الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ وَدَلِيلُهَا قَوْلُهُ صلى الله عليه وسلم { إذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ , أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا ؟ فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ الْمَسْجِد حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا } رَوَاهُ مُسْلِمٌ مِنْ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasul SAW bersabda“ Apabila terdapat sesuatu didalam perutmu maka diragui atasnya samada telah keluar atau tidak (kentut). Maka tidak perlulah untuk keluar dari Masjid (untuk memperbaharui wuduk) sehingga terdengar bunyi atau terbau satu bauan” [Muslim]

Rujukan Kedua:
Dalam kitab yang sama Jilid 2 ms 90 (lampiran 2):
الْقَاعِدَةُ التَّاسِعَةُ إذَا اخْتَلَفَ الزَّوْجَانِ فِي الْوَطْءِ , فَالْقَوْلُ قَوْلُ نَافِيهِ . عَمَلًا بِأَصْلِ الْعَدَمِ إلَّا فِي مَسَائِلَ : الْأُولَى : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ الْإِصَابَةَ , فَالْقَوْلُ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ سَوَاءٌ كَانَ قَبْلَ الْمُدَّةِ , أَوْ بَعْدَهَا , وَلَوْ كَانَ خَصِيًّا , وَمَقْطُوعَ بَعْضِ الذَّكَرِ , عَلَى الصَّحِيحِ

“Kaedah kesembilan: apabila bertikai suami isteri tentang persetubuhan, maka yang terkuat adalah dakwaan tidak berlakunya persetubuhan, ini aplikasi kepada kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ terkecuali pada masalah berikut: apabila mendakwa seorang yang berpenyakit ‘unnah’, maka dibenarkan dakwaan beliau disertai dengan sumpah samada sebelum berlalu satu tempoh atau selepasnya, walaupun ‘khissian’ atau terpotong sebahagian zakarnya, atas pendapat yang sahih”

Terdapat 6 masalah lain yang diberi pengecualian dalam kaedah ini, namun tidak ada satupun yang bersangkutan dengan seorang isteri yang mendakwa berlaku persetubuhan dan suami menafikan seperti kes yang dirujuk. Petikan ini diambil dari tajuk “الْكِتَابُ الرَّابِعُ فِي أَحْكَامٍ يَكْثُرُ دَوْرُهَا وَيَقْبَحُ بِالْفَقِيهِ جَهْلُهَا”.

Rujukan ketiga:

Kitab Al-Majmu’ Sharhu Al-Muhazzab lil As-Shairazi, Imam Abi Zakaria Yahya Sharfu An-Nawawi Jilid 18 ms 66 Maktabah Al-Irsyad, Jeddah (lampiran 3) dipetik:

فصل: وان اختلفا فى ألوطء فادعته المرأة وانكر الزوج فالقول قوله لان الأصل عدم الوطء

“Ceraian: Sekiranya bertikai pada berlakunya persetubuhan, maka mendakwa perempuan berlaku persetubuhan, menafikan suaminya maka pernyataan yang diambil adalah nyataan suami, kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”

Petikan ini adalah dibawah bab pertikaian suami isteri didalam penentuan “As-Sadaq” pemberian perkahwinan atau maskahwin. Diterangkan juga selanjutnya didalam perenggan yang sama, apabila datang perempuan dengan seorang anak yang dinasabkan kepada suaminya maka penentuan mahar ada dua pendapat, salah satunya wajib suaminya membayar mahar, kerana diketemukan nasab dihukumkan kepada wujudnya persetubuhan. Manakala pendapat kedua tidak wajib mahar kerana anak yang diketemukan itu hasil dari pelbagai kemungkinan dan mahar tidak wajib melainkan dengan persetubuhan maka asal adalah tiada persetubuhan.

Hujah ini adalah tepat dan kena dengan situasi kes yang dirujuk, kerana dakwaan oleh isteri berlaku persetubuhan dan diingkari oleh suami, dan daripada ketiga-tiga rujukan yang dibawa tiada satupun yang mensyaratkan sumpah untuk mensabitkan tiada berlaku persetubuhan. Ini membuktikan kekuatan kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ yang dibawa oleh As-Sayuti adalah umum diterima dalam mazhab Syafie.

Rujukan keempat:

Di dalam Kitab Hasyiatan Qailubi Waumairah Syarh Minhaj At-Talibin, Syihabudin Ahmad bin Ahmad bin Salamah Alqalyubi dan Syihabudin Ahmad Al Barlisi Umairah, Darul Fikr dinyatakan:

وَإِذَا طَلَّقَ دُونَ ثَلَاثٍ , وَقَالَ : وَطِئْت فَلِي رَجْعَةٌ , وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ ) أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ

“Apabila berlaku talak selain dari talak tiga, suami mendakwa aku telah mensetubuhi isteriku maka bagiku tempoh untuk rujuk, maka dinafikan oleh isterinya berlaku persetubuhan, maka diterima penyataan isteri dengan sumpahnya. Bahawa tidak berlaku persetubuhan keatas isteri tersebut kerana asal tiada berlaku persetubuhan.”

Nas ini menyatakan apabila seorang suami mendakwa berlaku persetubuhan, manakala isteri menafikannya, situasi yang berbeza dengan kes yang dirujuk, hukumannya adalah tetap kepada tidak berlaku persetubuhan. Kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ tetap digunakan tanpa mengira siapa yang mendakwa samada isteri atau suami. Bezanya hanya pada pengambilan sumpah daripada pihak isteri beserta keterangannya. Dalam nas dari kitab yang lain juga memberi erti yang sama dipetik:

وَإِذَا طَلَّقَ ) الزَّوْجُ ( دُونَ ثَلَاثٍ وَقَالَ وَطِئْت ) زَوْجَتِي قَبْلَ الطَّلَاقِ ( فَلِي ) عَلَيْهَا ( رَجْعَةٌ وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ قَبْلَ الطَّلَاقِ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ )
أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ فَإِنْ قِيلَ : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ أَوْ الْمَوْلَى الْوَطْءَ , فَإِنَّ الْقَوْلَ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ مَعَ أَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ .

Oleh yang demikian, Hakim telah membuat keputusan dengan betul apabila mensabitkan tidak wujud iddah kepada pihak isteri apabila berlakunya penceraian akibat tidak berlaku penyerahan atau persetubuhan selepas perkahwinan.

Pendapat berlawanan

Namun terdapat pendapat yang bertentangan, jika dilihat pada bahagian Fatwa Ibn Ziyad didalam kitab Bughyatul Mustarsyidin fi Takhsis Fatawa Ba’da Al-Aimmah min Ulama’il Mutaakhirin (lampiran 4). Dalam bab Rujuk menyatakan:

“Masalah: Isteri berikrar berlakunya persetubuhan dan suami menafikan, maka wajib keatas isteri tersebut iddah, dan tidak gugur dakwaan itu dengan pengakuan beliau (isteri) menipu kerana dia rujuk pengakuan pertamanya sepertimana disebut dalam kitab Raudah. Walaubagaimanapun, sekiranya isteri telah berikrar bahawa suami tidak bersetubuh dengannya dan dibenarkan dakwaan isteri, kemudian sabit dengan keterangan yang baik dengan pengakuan isteri berlaku persetubuhan sebelum ikrar pertama (tidak berlaku persetubuhan) maka tetap diwajibkan iddah…”

Petikan kitab Bughyah ini mewajibkan isteri mendapat iddah, seolah-olah dipakai keterangan isteri tentang berlakunya persetubuhan, perlu diingat bahawa petikan ini diambil dari bab rujuk dan tumpuan (syahid) diberikan kepada hak isteri untuk mendapat iddah.

Begitu juga satu pendapat yang sama dinukilkan dalam buku “Risalah Perkahwinan Bicara bab Nikah Cerai Rujuk dan Iddah” yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah disebut:
“Sabit bersetubuh:
1. Jika menjadi berbalahan diantara suami isteri dengan bersetubuh, isteri berkata suaminya telah bersetubuh dengannya dan suaminya berkata ia belum bersetubuh dengan isterinya maka kenalah isteri bersumpah dengan bersetubuh maka dihukum telah bersetubuh.
2. Jika menjadi perbalahan diantara suami isteri dengan tiada bersetubuh isteri berkata tiada bersetubuh dan suami berkata telah bersetubuh maka dibenarkan perkataan isteri dengan tiada bersetubuh dan tiada berkehendak kepada isteri bersumpah lagi.
3. Jika tiada menjadi perbalahan dibenarkan perkataan isteri dengan tiada sumpahnya lagi.”
Petikan diatas tidak dinyatakan pengambilannya, oleh yang demikian penyelidikan tidak dapat dibuat ke atas pendapat kontra yang dinyatakan dalam perkara 1.

Penyelarasan

Merujuk kepada Kitab Al-Bayaan Fi Mazhab Al-Imam As-Shafie, Abi Husain Yahya bin Abi Al-Khair Salim Al-Imraani, As-Shafie Al-Yamani. Jilid 9 ms 469-470 Darul Minhaj. (lampiran 5) diterjemahkan.

“Masalah : Mendakwa berlaku berdua-duaan (Al-Khalwat) dan persetubuhan (Al-Asabah);Jika mendakwa isteri: Bahawa suami telah berdua-duaan dengannya dan menyetubuhinya, atau bersetubuh dengannya tanpa berdua-duaan, dan dinafikan oleh suami.. maka kata-kata diambil dari suami dengan sumpahnya, kerana pada asalnya tiada berlaku berdua-duaan dan persetubuhan.Dan sekiranya suami membenarkan wujudnya berdua-duaan dan penyerahan diri isteri kepadanya untuk berlaku persetubuhan tetapi tidak berlaku persetubuhan. Dalam perkara ini jika kita mengatakan berdua-duaan adalah sama seperti bersetubuh pada meletakkan kadar mahar musamma maka wajiblah hak iddah.. Jika kita mengatakan berdua-duaan adalah bukan seperti bersetubuh. Adakah diambil kata-kata suami atau kata-kata isteri? Padanya dua pendapat.1. Pendapat Qadeem: Diambil dakwaan isteri kerana jelas bersamanya.2. Pendapat Jadid: Diambil dakwaan suami, dan ini adalah pendapat yang asah kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”

Al-Bayan mensyarahkan kitab Al Muhazzab secara lengkap dan perbandingan pendapat-pendapat lain dalam mazhab, pengarang telah memecahkan persetubuhan kepada dua definisi, iaitu berdua-duaan (Al-Khalwah) dan persetubuhan (Al-Asabah). Sekiranya berlaku berdua-duaan (bersunyi-sunyian suami dan isteri dari pendangan orang lain dan memungkinkan berlaku persetubuhan) ataupun tidak maka dakwaan suami tidak berlaku persetubuhan adalah yang terkuat dan diambil kira. Ini mengambil kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’. Namun sekiranya berlaku berdua-duaan tetapi tidak berlaku persetubuhan maka ada dua pendapat, diambil dakwaan isteri samada isteri mendakwa berlaku persetubuhan atau sebaliknya. Sekiranya isteri mendakwa berlaku persetubuhan maka wajiblah suami untuk memberi nafkah iddah, menyempurnakan mas kahwin, mempunyai hak untuk merujuk, dan hak-hak lain. Namun pendapat yang terkuat adalah tetap kembali kepada suami yang mendakwa tidak berlakunya persetubuhan. Inilah yang ‘Asah’.

Kesimpulannya:

1. Dalam dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami maka dakwaan suami dibenarkan. Kerana asal sesuatu tidak ada.

2. Dalam dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami dalam tuntutan iddah maka dihukumkan isteri dengan iddah. Sepertimana dalam kitab Bughyatul Mustarshidin.

3. Sehingga tiada nas lain yang boleh menggugat kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’ dan diaplikasikan terhadap kes ini maka, keputusan Hakim Bicara adalah tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang dan hukum syarak.Abu Razeen post research
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...